Monday, February 16, 2009

Kasihan Mukhriz

Kasihan Mukhriz terpaksa guna isu lama pelawa PAS gabung tenaga dengan UMNO

February 16, 2009 by admin

Ramai betul yang kasihan dengan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir yang menampilkan suaranya pelawa PAS berkerjasama dengan UMNO untuk kepentingan Melayu. Ia dianggap pelawaan basi yang sama sekali tidak kena pada masa dan sifat perjuangan parti masing-masing.

Ramai yang tahu perjuangan PAS adalah semata-mata memperjuangkan Islam yang dicampuradukkan dengan politik. Ia juga satu perjuangan yang memperalatkan agama untuk mendapatkan kuasa politik. Ia amat berbeza di mana UMNO menjadikan agama sebagai pengisian perjuangannya.

Agama boleh menjadi teras perjuangan politik tetapi tidak kepada mempolitikkan agama. Kerana itu pembawakan PAS tidak mudah diterima secara meyeluruh walaupun dari kalangan orang Melayu.

Ia bagaikan mustahil pada ketika ini sehingga pemimpin PAS benar-benar sedar suatu hari nanti untuk menerima hakikat politik itu adalah politik untuk memperjuangkan satu corak mentadbir pemerintahan yang lebih terbuka sesuai dengan penduduk berbilang kaum di negara ini.

Kalau itu pun Mukhriz tidak faham lagi dan mengambil kesempatan pada ketika ini untuk mempelawa PAS berjuang untuk kepentingan agama, bangsa dan negara secara adil, di mana karisma dia dengan perjuangan UMNO hari ini?

Untuk makluman YB, sebelum ini UMNO pernah cuba dan berjaya membawa PAS ke dalam BN dan ternyata akhirnya PAS keluar juga kerana mereka tetap merasakan mereka boleh berdikari tanpa bergantung pada parti Melayu lain..

Tetapi akhirnya apa jadi? Tidakkah PAS sekarang ini sudah duduk bersama DAP dan PKR membentuk satu pakatan menentang UMNO bersama parti komponen yang lain dalam BN yang sentiasa liberal dalam perjuangan dan pemerintahannya?

PAS tidak berasa jijikkah dengan Penasihat PKR yang penuh dengan skandel seks luar tabienya, rasuah besarnya semasa memegang jawatan timbalan perdana menteri dulu, pembohongannya yang terus menerus sehingga sekarang?

Tidakkah PAS juga berasa janggal berada dengan DAP yang sekarang ini mendedahkan biadapnya terhadap institusi kesultanan, tidak habis-habis mahu merendah-rendahkan apa juga yang terkandung dalam perlembagaan persekutuan melalui pencabulan mereka terhadap keluhuran perlembagaan tersebut dengan pelbagai cara?

Untuk kepentingan yang sekadar menumpang kasih dalam pakatan pembangkang itu, sepatutnya mereka tidak perlu dipelawa atau diajak sudah boleh berkerjasama dengan UMNO dalam mempertahankan banyak isu berbangkit hari ini termasuk terjejasnya ketuanan Melayu, soal bahasa, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Daripada pentas ceramah PAS yang tidak habis-habis mencerca, mengumpat, memfitnah dan membuat tohmahan tanpa bukti nyata termasuk pernah mengkafirkan orang UMNO, kita orang Melayu masih tidak sedar lagi arah mana perginya PAS terhadap tanggungjawab orang Melayu yang 100% Islam semuanya.

Kalau dengan mempelawa PAS berkerjasama dengan UMNO, Mukhriz ingat mahu jadi jaguh yang barang tentu tidak akan mendapat layanan dari kalangan ahli PAS mahupun mendapat pujian dari orang UMNO, sepatutnya Mukhriz sudah boleh mengukur sendiri tahap dirinya apakah dia layak menjadi pemimpin besar suatu hari nanti.

Sebenar-benarnya sebagai menghormati pandangan orang-orang lama UMNO, Mukhriz kena lebih banyak belajar ilmu percambahan fikiran perubahan jiwa dan perasaan orang Melayu hari ini yang sudah berkehendakkan sesuatu yang lojik, konkrit dan bernas walaupun hanya untuk mencari sedikit penonjolan diri menjadi pemimpin muda supaya lebih berkelibar dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Adalah lebih baik kerja Mukhriz hari ini ditumpukan kepada mendapatkan ahli PAS secara individu seorang demi seorang menerangkan kepada mereka bagaimana Melayu boleh bersatu sehati sejiwa dalam perjuangan UMNO yang tumpuannya kepada orang Melayu serta memahami gabungannya dengan parti-parti komponen dalam BN untuk kepentingan masa depan seluruh rakyat.

Sambil itu, carilah peluang mendekati Melayu yang sudah tersasar yang ingin kembali ke pangkuan UMNO dalam DAP mahupun PKR tetapi malu mahu datang sendiri menyerah diri. Sebagai ahli dan exco pemuda, tidak salah minta nasihat dari pemimpinnya seperti naib ketuanya Khairy Jamaluddin atau ketuanya, Datuk Seri Hishamuddin apa patut beliau kerjakan untuk parti.

Mukhriz tidak boleh bersendirian dalam membangkitkan sesuatu isu tanpa membuat sebarang percambahan fikiran dengan orang-orang yang lebih kanan darinya dalam satu pergerakan kerana setiap buah fikiran bakal menjadi pemimpin akan diukur orang ramai dari luar rengkung parti dan sayap-sayapnya.

No comments:

Post a Comment